Tuesday, 20 August 2013

TANGAS UNTUK KESIHATAN DALAMAN (KOSMO ONLINE)

RENCANA UTAMA

Tangas untuk kesihatan dalaman



BERTANGAS sangat sesuai untuk wanita yang baru sahaja melahirkan anak dan selepas haid.


AMALAN bertangas masih menjadi pilihan sebahagian wanita walaupun pada masa kini terdapat pelbagai rawatan kecantikan moden yang ditawarkan untuk golongan hawa.
Sebenarnya, amalan bertangas mempunyai fungsinya yang sama dengan sauna atau mandi wap yang terdapat di spa.
Bertangas yang pada kebiasaannya dilakukan selepas bersalin dan haid itu tidak terhad untuk kaum wanita sahaja.
Malah, kaum lelaki boleh mencuba rawatan itu untuk proses pembakaran lemak selain membantu mengeluarkan peluh dan mewangikan badan.
Menurut Pengurus Belaian Wellness Spa, Awanis Musa, jika dahulu rawatan bertangas dilakukan secara duduk di atas ramuan rebusan herba, kini rawatan itu diperbaharui dengan kain disediakan untuk menyelubungi tubuh sambil duduk di bawah rebusan herba.
"Bertangas sangat sesuai dilakukan oleh wanita yang baru sahaja melahirkan anak dan selepas haid bagi mengeluarkan peluh serta toksin dari badan. Bagi wanita bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan dan pengecutan rahim dengan cepat," ujarnya.
Tambah Awanis, rawatan bertangas terdapat dalam pelbagai cara dan ramuan.
Bertangas, katanya, mempunyai dua kaedah iaitu kering dan basah.
Daun serai
"Bertangas kering juga dikenali sebagai bertangas herba. Ia menggunakan batu sungai yang dipanaskan dan diletakkan ramuan tertentu selain perlu duduk di atas batu itu sehingga panasnya berkurangan.
"Rawatan itu dilakukan selepas hari ketujuh bersalin selama 10 hari berturut-turut. Ia adalah untuk wanita yang baru sahaja melahirkan anak apabila darah nifas telah kering," jelasnya.
Menurut Awanis, rawatan tersebut dapat mengeluarkan sisa toksin dan boleh digunakan untuk merawat luka.

PELANGGAN perlu duduk di atas kerusi selama 15 hingga 30 minit untuk mendapatkan kesan wap rebusan.


"Ia juga boleh dilakukan selepas hari keenam haid selama tiga hingga tujuh hari berturut-turut," tuturnya.
Dia berkata, ramuan seperti daun inai, serai wangi, daun limau purut, daun pandan, daun lemuni, manjakani, daun mengkudu dan garam bukit digunakan untuk bertangas basah.
Masalah jantung
"Kesemua ramuan itu akan direbus dan diletakkan di bawah kerusi rotan kayu yang dibuat lubang di tengahnya.
"Pelanggan perlu duduk di atas kerusi itu selama 15 hingga 30 minit bagi mendapatkan kesan wap bahan rebusan tadi dengan berselubung menggunakan kain pada paras leher sehingga ke kaki.
"Ketika rawatan bertangas basah, senaman kemutan otot rahim boleh diamalkan untuk kekuatan otot alat sulit dan rahim," ujarnya.
Awanis memberitahu, amalan bertangas itu pada kebiasannya dilakukan secara berkemban bagi memastikan wap daripada bahan rebusan tersebut mengenai seluruh badan.
"Bertangas juga dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap pada bahagian alat sulit serta mengelakkan kelesuan kulit dan bau badan.

RAWATAN bertangas dilakukan selepas hari ketujuh bersalin selama 10 hari berturut-turut.


"Tempoh maksimum rawatan bertangas ialah selama 30 minit dan tidak boleh melebihi tempoh tersebut bagi mengelakkan tubuh mengalami masalah kekeringan air.
"Setiap bahan yang digunakan mempunyai fungsinya yang tersendiri seperti daun inai dan serai wangi yang bertindak sebagai antibakteria manakala manjakani sememangnya amat terkenal dengan fungsinya yang membantu mengetatkan bahagian alat sulit.
"Namun, sebelum mencubanya, faktor kesihatan perlu diambil kira terutama untuk mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan masalah jantung manakala yang baru mencubanya, masa selama 15 minit sudah mencukupi," jelasnya sambil memberitahu, amalan bertangas basah juga sesuai diamalkan oleh kaum lelaki.
Dia memberitahu, selepas bertangas, pelanggan akan diberikan segelas air dan mereka hanya dibenarkan mandi selepas tempoh 15 minit.
Sementara itu, seorang pelanggan, Noraizah Mohd. Nor, 40, memberitahu, dia merasai terdapat perubahan pada badannya selepas melakukan amalan bertangas yang disediakan dalam pakej rawatan selepas bersalin.
"Saya sudah mencuba rawatan bertangas sebanyak dua kali selepas diperkenalkan oleh adik, ternyata hasilnya tidak menghampakan.
"Badan menjadi segar selepas melakukan rawatan itu dan penggunaan bahan-bahan tradisional juga sebenarnya banyak membantu.
"Saya menjadikan rutin bertangas ini sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi membuang toksin di dalam badan selain ia bagus untuk kesihatan dalaman wanita," ujar ibu kepada dua orang anak ini.


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz2cVHQMDtW 
Hakcipta terpelihara 


No comments:

Post a Comment