Saturday, 27 July 2013

BERTANGAS

Artikel: BERTANGAS


Tangas tradisional rawat kesihatan dalaman, luaran

Oleh: Siti Fatimah Mohamed Anwar


sitifatimahanwar@nstp.com.my

Masyarakat Melayu amal mandi wap guna rempah ratus sejak 200 tahun lalu

SEJAK 200 tahun lalu masyarakat Melayu mengamalkan bertangas sebagai rawatan kesihatan dan kecantikan. Amalan ini tidak pernah disisihkan walaupun pelbagai cara rawatan kecantikan moden memonopoli pasaran tempatan.

Rawatan seperti sauna dan mandi wap yang disediakan di kebanyakan spa dan salun kecantikan moden hari ini seakan sama fungsinya dengan bertangas, tetapi bertangas tradisional mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menggunakan ramuan herba dan rempah ratus yang berkualiti.

“Sejak sekian lama masyarakat Melayu mengamalkan bertangas untuk mengeluarkan peluh bagi membuang toksin yang menyebabkan bisa badan. Malah, tikar pandan dan mengkuang juga digunakan sebagai dinding yang menyelubungi tubuh individu ketika bertangas.

“Tikar pandan dan mengkuang mempunyai khasiat tersendiri dan mengeluarkan aroma wangi untuk menghilangkan bau badan. Ada banyak jenis tangas dan yang popular ialah tangas duduk, kering, basah, wangi dan rempah,” katanya.

Beliau berkata, amalan tangas baik kepada individu tidak kira jantina dan usia. Tangas kering juga menjadi pilihan remaja terutama golongan yang mempunyai masalah keputihan, kegatalan vagina yang menyebabkan pengeluaran cecair yang berbau daripada saluran faraj.

“Disebabkan pemakanan yang tidak seimbang, termasuk kurangnya penjagaan diri menyebabkan remaja perempuan mengalami masalah pada bahagian sulit. Jika tidak dirawat vagina akan mengalami alahan seperti gatal, kemerah-merahan selain mengeluarkan bau tidak menyenangkan,” katanya.

Beliau berkata, setiap periuk tangas yang digunakan tidak boleh dicampur aduk antara satu individu dengan individu lain. Ini bertujuan mengelak jangkitan kuman dan penyakit yang dihidapi orang lain beralih kepada individu lain.

“Tempoh maksimum tangas adalah 30 minit dan tidak boleh lebih daripada tempoh itu bagi mengelak dehidrasi tubuh. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak biasa bertangas atau baru menggunakan amalan ini, tempoh 15 minit sudah mencukupi.

“Amalan bertangas dilakukan tanpa pakaian bagi memastikan wap tangas mengenai seluruh badan terutama kawasan tertutup. Setiap bahan tangas diperbuat daripada herba dan rempah ratus menggunakan petua turun temurun masyarakat Melayu lama,” katanya.

Beliau berkata, tangas wangi pula adalah tangas yang diamalkan masyarakat bangsawan zaman dulu seperti sultan dan pembesar. Katanya, amalan tangas wangi tidak menjadi pilihan rakyat biasa kerana ia tidak relevan dengan cara hidup mereka.

“Ia tidak sesuai kepada rakyat biasa kerana mereka perlu ke bendang dan kebun untuk mencari rezeki dan bergelumang dengan peluh. Sehubungan itu, amalan tangas wangi yang bertujuan memberi keharuman pada tubuh individu tidak sesuai dipraktikkan kepada golongan terbabit.

“Namun, bagi anak dara yang bakal mendirikan rumah tangga, tangas wangi dilakukan tiga hari sebelum menjelang hari bahagia. Ramuan tangas wangi seperti daun pandan, bunga melur, mawar, daun cendana dan gaharu serta dibalut dengan kain cindai diyakini berkesan membuang bau badan termasuk ketiak,” katanya.

Sementara itu, tangas duduk pula menggunakan batu sungai yang dipanaskan terdahulu sebelum dibalut bersama kain yang mengandungi ramuan herba dan rempah ratus. Katanya, individu perlu duduk di atas batu berkenaan sehingga panas batu berkurangan.

“Kebiasaannya tangas duduk dilakukan kepada wanita yang putus haid untuk mengetatkan saluran vagina yang longgar selain mengubati masalah kedatangan haid yang panjang serta menaikkan rahim jatuh.

“Bagi tangas kering pula, bahan tangas akan dimasukkan ke dalam periuk tanah sebelum dipanaskan di atas dapur tanah kecil dan ditutup dengan kerusi kayu yang dilubangkan di tengahnya. Individu perlu duduk di atas kerusi itu antara 15 hingga 30 minit,” katanya.

Beliau berkata, setiap jenis tangas mempunyai kelebihan yang berbeza-beza dan amalan bertangas ini perlu diteruskan terutama wanita moden hari ini. Katanya, kesibukan kerja selain menguruskan rumah tangga menyebabkan wanitamengabaikan penjagaan kesihatan dalaman.

“Tangas adalah amalan penjagaan kesihatan keseluruhan tubuh badan dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan bahagian sulit semata-mata. Malah, amalan ini dapat membantu wanita mengatasi masalah keletihan, berat badan berlebihan dan mengecutkan urat badan yang menyebabkan lendir angin dalam tubuh,” katanya.

FAKTA

Kelebihan bertangas

Tangas Kering
# Rawatan bagi wanita selepas bersalin
# Melancarkan proses haid wanita
# Mengurangkan keputihan dan alahan vagina
# Merawat bau dan lendir busuk yang keluar daripada saluran vagina
# Mengeluarkan toksin dalam tubuh
# Melancarkan pengaliran darah
# Mengatasi masalah kelesuan
# Membantu mengurangkan masalah berat badan
# Ramuan tangas kunyit, limau nipis, halia dan jintan hitam.

Tangas Basah
# Digunakan untuk memecah lemak dan selulit
# Menghaluskan kulit
# Membuang toksin dalam badan
# Daun pandan dan air mawar

Tangas Duduk
# Mengetatkan saluran vagina bagi perempuan yang sudah putus haid
# Menaikkan rahim jatuh
# Melancarkan proses perkumuhan
# Mengurangkan rasa pedih selepas membuang air kecil
# Ramuan tangas rempah ratus, daun sirih dan halba

Tangas rempah
# Mengurangkan masalah bau badan
# Membuang angin dalam tubuh
# Memanaskan badan
# Memberi tenaga dan mengurangkan tekanan
# Meningkatkan daya tahan tubuh
# Ramuan tangas halia, halba dan jintan hitam
.

No comments:

Post a Comment